Rabu, 31 Mac 2010

Imbas Sejarah Penubuhan SK Lubuk Terua

BERDASARKAN kepada fakta sejarah nama Sekolah Kebangsaan Lubuk Terua telah diperolehi daripada nama lubuk di Sungai Semantan ke hulu sedikit daripada jambatan di Kampong Mempateh yang ada sekarang ini.

Di tepi tebing lubuk ini tumbuh sebatang pokok yang dinamakan Pokok Terua. Sejarah juga telah membuktikan Lubuk Terua telah dijadikan pengkalan oleh saudagar-saudagar yang menggunakan sungai tersebut.

Tempat ini juga merupukan kubu pertahanan dan tempat memungut cukai pada zaman dahulu.

Sempena dengan nama Lubuk Terua, sebuah sekolah telah didirikan pada tahun 1910. Bangunan yang asalnya diperbuat daripada kayu ini telah dibina oleh pihak British, mempunyai dua bilik darjah.

Ia boleh menampung 50 murid dari darjah satu hingga darjah lima. Pada masa itu, Cikgu Kidam, telah diberi tugas sebagai guru besar dengan dibantu oleh guru penolong.

Pada zaman Malaya di bawah pemerintahan tentera Jepun, sekolah tersebut terpaksa ditutup kerana ia telah dijadikan markas tentera dan dibuka semula apabila pihak British mengambil alih pemerintahan.

Pada tahun 1950 sebuah bangunan tambahan telah didirikan. Di samping itu, pondok kecil yang telah dijadikan bilik darjah juga di bina bagi menampung bilangan murid yang kian bertambah.

Namun begitu ia telah dihanyutkan air ketika banjir besar melanda kawasan ini pada tahun 1971.

Pada tahun 1977, sebuah bangunan baru telah didirikan di tapak baru (sekolah sekarang) yang tidak jauh dari sekolah lama (blok A).

Pada 5 Januari 1981, sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi empat bilik darjah (blok B) telah didirikan.

Pertambahan murid yang ramai menyebabkan sebuah lagi bangunan telah dibina melalui projek gotong-royong pada tahun 1989 (blok C).

Bangunan ini mengandungi empat bilik darjah yang sekarang digunakan untuk murid-murid Pra sekolah, 1C, Tahun 1P dan Tahun 2C.

Sebuah lagi banguan yang mengandungi dua bilik darjah (blok D) telah didirikan pada tahun 1998.

Di samping mempunyai bilik Pusat Sumber Sekolah, sekolah ini juga memiliki sebuah bilik makmal, bilik kemahiran Hidup, kantin dan juga surau.

Sebuah makmal komputer juga sedang dalam perancangan untuk dibangunkan tidak berapa lama lagi.

Pada masa ini Sekolah Kebangsaan Lubuk Terua mempunyai seramai 363 murid dan 22 guru serta empat kakitangan sekolah.

Dengan beberapa kemudahan yang ada, diharap akan bertambah kuatlah azam murid-murid, guru-guru dan penjaga untuk meningkatkan nama baik sekolah sebagai sekolah yang unggul di negara ini.

Info: Dipetik daripada buku Sambutan Jubli Intan 1910 - 2001 terbitan S.K Lubuk Terua.
Keterangan gambar: Buku Sambutan Jubli Intan 1901 - 2001 memuatkan pelbagai catatan sebagai rujukan guru-guru, ibu bapa dan penjaga serta murid-murid
Keterangan gambar: Kenangan. Bersama Guru Besar Encik Aziz Abdullah Sani di samping guru-guru yang bertugas di sekolah ini pada tahun 1969.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan